KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kesan konflik di Asia Barat terhadap Malaysia masih terkawal.
Bagaimanapun, kata beliau, Malaysia tidak boleh alpa dan mesti sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kemungkinan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung sambil terus memperkukuh perpaduan dan daya tahan sebagai sebuah bangsa yang berdaulat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan beliau berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong hari ini.
Kata beliau, khutbah bertajuk ‘Prinsip Kecukupan Dalam Islam’ mengingatkan umat Islam supaya menghayati nilai ‘qanaah’ iaitu rasa cukup dengan segala yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Ujar beliau, dalam suasana dunia yang masih berdepan pelbagai ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat, adalah amat penting untuk nilai qanaah ini terus diperkukuh dalam jiwa umat Islam semua. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


