Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) diarahkan menyemak semula prosedur operasi piawai (SOP) gerai jualan bunga api sementara di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, langkah itu bagi memastikan musim perayaan di Malaysia dapat disambut dengan penuh kegembiraan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
“Langkah ini bertujuan memastikan setiap peniaga beroperasi dengan penuh tanggungjawab dengan meletakkan keselamatan komuniti setempat sebagai keutamaan tertinggi.
“Garis panduan tersebut akan memberikan fokus kepada penetapan jarak keselamatan yang bersesuaian antara gerai, serta penilaian semula lokasi gerai supaya tidak terlalu hampir dengan struktur kekal dan kawasan kediaman,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Kor Ming, KPKT juga akan meneliti keperluan supaya setiap gerai berlesen dilengkapi dengan alat pemadam api yang berfungsi bagi membolehkan tindakan kecemasan diambil dengan segera apabila berlaku kebakaran.
Menurut beliau, keselamatan dan kemeriahan dalam menyambut perayaaan harus bergerak seiring.
“Dengan memperhalusi garis panduan ini, kami komited untuk memperkukuh tahap keselamatan awam supaya setiap rakyat Malaysia dapat menikmati suasana musim perayaan yang meriah secara selamat,” katanya.
Beberapa hari lalu sebuah gerai menjual bunga api di Taman Pekaka, Nibong Tebal, Pulau Pinang meletup dan terbakar.
Tonton di …:
https://x.com/i/status/2035453396413804877
Berikutan kejadian itu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membatalkan permit gerai menjual bunga api berkenaan.
Pihak polis turut membuka kertas siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kelakuan cuai berkenaan dengan bahan letupan. – MYNEWSHUB


