KULIM: “Deepavali kali ini sepatutnya menjadi pesta cahaya, tapi bertukar jadi tragedi kerana bunga api,” kata R Pasupathi, 74.
Mangsa letupan bunga api di Jalan Paya Besar, di sini, awal tengah malam tadi itu, berkata dia masih terkejut dan trauma dengan kejadian itu.
“Saya nampak sendiri orang hilang lima jari, ramai yang menjerit, ada kanak-kanak menangis.
“Saya sendiri patah tangan kanan dan luka dalam di beberapa bahagian badan,” katanya ketika ditemui di Hospital Kulim di sini hari ini.
Pasupathi berkata, letupan berlaku kira-kira 50 meter dari tempat dia berdiri namun kesannya tetap kuat hingga menyebabkan dia rebah.
“Bunga api itu meletup kuat secara tiba-tiba, mungkin sudah diubah suai. Saya harap polis akan siasat supaya kejadian seperti ini tak berlaku lagi,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Norzaina Ismail, 46, berkata dia berada di seberang jalan sewaktu letupan berlaku.
“Saya nampak bunga api itu menyala, kemudian tiba-tiba meletup. Masa itu saya rasa panas dan sakit macam disambar api.
“Saya masih boleh berjalan, tapi tak lama lepas itu tangan dan kaki terus bengkak sampai tak boleh gerak,” katanya yang juga pekerja kilang.
Katanya, dia dibawa ke hospital oleh anak selepas tidak mampu berdiri akibat kecederaan.
Sementara itu, R Gayathiri, 25, berkata adiknya, Durkadewi, 15, yang ketika itu sedang merakam video bunga api kini sukar berjalan dan makan kerana luka serta kesan terbakar di seluruh tubuh.
“Adik saya kena banyak di tangan dan kaki. Kami sangat sedih tengok keadaannya. Deepavali kali ini betul-betul suram untuk kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Saiful Ambar Abdullah Ambar, berkata seorang mangsa mengalami kecederaan serius susulan kejadian malam tadi dan dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang manakala lima lagi yang cedera masih dirawat di zon merah Hospital Kulim.
Katanya, daripada keseluruhan 22 mangsa yang dilaporkan cedera, beliau berkesempatan menziarahi lima mangsa yang masih menerima rawatan di hospital.
“Susulan tragedi yang berlaku malam tadi, hari ini saya melawat mangsa. Ada lima yang masih menerima rawatan di zon merah termasuk seorang kanak-kanak perempuan, seorang wanita dan tiga lelaki.
“Setakat maklumat yang diterima ada 22 mangsa, kita akan cuba jejak mangsa lain yang pulang selepas mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa di hospital itu.
Beliau berkata, siasatan akan tertumpu kepada pihak yang menganjurkan pertunjukan bunga api itu serta punca sebenar letupan sama ada disebabkan kecuaian atau perbuatan sabotaj.
Terdahulu, polis mengesahkan sedang mengesan penganjur pertunjukan bunga api di Jalan Paya Besar di sini selepas insiden malam sambutan Deepavali itu mengakibatkan 22 orang cedera.
BHonline-


