Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu berdamai dengan beliau.
Beliau mendakwa, perkara itu disampaikan oleh sahabat lamanya yang masih berada dalam UMNO selepas solat Isyak malam tadi.
“Dia kata Zahid ingin berdamai. Dan dia (Zahid) telah arahkan budak-budak dia untuk berhenti serang saya. Dia juga minta saya henti serang UMNO,” dakwanya dalam satu hantaran di media sosial.
Isham mendakwa, beliau sebenarnya tidak pernah mengkritik atau menyerang UMNO, sebaliknya mengkritik atau menyerang UMDAP (gabungan nama UMNO dan DAP)
Kata beliau, selagi UMDAP tidak kembali kepada perjuangan asal UMNO, beliau akan terus istiqamah mengkritik UMDAP sehingga UMDAP tinggalkan DAP.
Beliau seterusnya mendakwa UMDAP mahu bertanding ‘solo’ pada saat akhir menjelang pilihan raya untuk meraih sokongan Melayu dan memujuk akar umbi.
“Tetapi apabila itu berlaku ia sudah terlambat kerana rakyat tidak percaya kepada UMNO/UMDAP lagi. Terima kasih kepada sahabat lama saya dalam UMNO yang sudi telefon saya.
“Kirim salam kepada Zahid dan tanya dia dia kenal saya lagi tak. Saya dengar-dengar dia dah lupa. Mantap UMDAP,” katanya sinis. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Isham Jalil


