Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pempengaruh kesihatan terkenal, Dr. Malar Santhi (Celoteh Dr Malar) tampil menyuarakan pandangan agar Malaysia memperketatkan undang-undang berkaitan alkohol, khususnya melibatkan aspek pemanduan dan penjualan di kedai runcit.
Dr. Malar mencadangkan dua perkara utama yang dianggap “berani dan drastik”.
Pertama, beliau mencadangkan supaya penjualan minuman keras di kedai runcit dan serbaneka seperti Speedmart, 7-Eleven dan pasar raya dihentikan sepenuhnya.
Kedua, beliau mendesak agar kerajaan melaksanakan dasar “zero tolerance” (0.0% alkohol) bagi pemandu, sama seperti yang diamalkan di Brunei.
“Kalau nak minum arak, itu pilihan masing-masing. Tapi jangan sesekali memandu walaupun rasa diri masih stabil. Seteguk pun jangan drive!” tegasnya dalam sebuah hantaran di media sosial.
Menurutnya lagi, had kandungan alkohol dalam darah (BAC) yang dibenarkan ketika ini perlu dikaji semula kerana masih membuka ruang kepada risiko kemalangan.
Beliau turut menyeru pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Menteri Pengangkutan agar menggubal undang-undang lebih ketat, selari dengan keadaan semasa.
“Dah 2026, sudah tiba masanya kita buat perubahan besar demi keselamatan semua,” katanya.
Komen Dr Malar ini dibuat berikutan isu viral seorang pemandu mabuk melanggar mati seorang penunggang motosikal di Klang, semalam.
Isu itu mengundang kemarahan di seluruh negara dengan banyak pihak memberikan pelbagai pandangan termasuk agar kes itu dibicarakan sebagai kes bunuh dan bukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan.
Dr Malar adalah Ikon Bahasa DBP 2024 dan pemenang NONA Superwoman Health Influencer Award 2022 serta dianugerahkan Pekerja Contoh 2023. – MYNEWSHUB



