RAKYAT tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang senada menuntut tindakan lebih tegas dan serius diambil bagi menangani isu pemandu mabuk.
Bagi mereka tidak ada lagi ruang untuk kompromi dan mahu ia dinoktahkan ‘once and for all’ bagi melindungi pengguna jalan raya.
Parti politik daripada pelbagai ideologi berbeza juga tampil mengeluarkan kenyataan tegas yang hampir sama iaitu mendesak sesuatu dilakukan.
Pimpinan parti seperti UMNO, MCA, MIC, Amanah, PAS, Bersatu secara terbuka menyuarakan kekesalan serta mendesak undang-undang sedia ada dikaji semula.
Antara cadangan yang dibangkitkan termasuk hukuman rotan, penarikan lesen memandu seumur hidup serta kewajipan kepada pesalah untuk menanggung kehidupan keluarga mangsa.
Ada juga yang mencadangkan hukuman lebih berat seperti penjara seumur hidup dan tidak kurang juga suara yang berpendapat hukuman mati perlu dipertimbangkan bagi kes melibatkan kematian.
Walaupun cadangan itu mungkin menimbulkan kontroversi, ia secara harfiah menggambarkan tahap kemarahan dan kekecewaan rakyat terhadap kes berulang.
Persamaan pendirian yang jelas menunjukkan isu pemandu mabuk melangkaui politik dan menyentuh soal kemanusiaan.
Persoalannya, mengapa isu ini seolah-olah tidak pernah selesai? Setiap kali berlaku tragedi, perbincangan hangat muncul.
Bagaimanapun selepas beberapa ketika, semuanya kembali senyap tanpa perubahan ketara.
Satu perkara yang semakin dilupakan adalah peranan kempen kesedaran.
Suatu ketika dahulu, kempen kesedaran ‘Jeff I kill my brother’ cukup memberi kesan kepada masyarakat dengan mesej jelas ‘dont drink and drive”
Kempen sebegitu bukan sahaja menyentuh emosi, malah berjaya membentuk kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.
Namun hari ini, kandungan seumpama itu semakin kurang dipaparkan atau mungkin juga tidak lagi diberi penekanan.
Dalam era media sosial yang pantas, mesej keselamatan jalan raya sepatutnya lebih kreatif dan konsisten agar mampu menembusi minda generasi muda.
Tanpa usaha berterusan, kesedaran mudah pudar sedangkan ia tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Ia perlu menjadi titik perubahan kepada dasar, penguatkuasaan dan sikap masyarakat. Jika tidak, persoalan sama terus berulang.
Berapa ramai lagi perlu menjadi korban sebelum tindakan yang efektif benar-benar diambil? – MYNEWSHUB


