Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – DAP tidak boleh mengambil sikap ‘lepas tangan’ berhubung kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran di mahkamah ketika prosiding membabitkan aktivis, Arun Dorasamy.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Kulasegaran bukan pemimpin biasa, sebaliknya memegang jawatan penting dalam kerajaan serta bertanggungjawab menjawab isu pelaksanaan undang-undang di Dewan Rakyat.
Menurutnya, kehadiran Kulasegaran di sisi seorang tertuduh merupakan perkara serius dan tidak boleh dipandang ringan.
“Ia tidak boleh dilihat sekadar singgah jumpa kawan lama sahaja. Tidak syak lagi ia merupakan satu bentuk solidariti kerana pertemuan itu berlaku pada pagi hari tertuduh didakwa di mahkamah.
“Jika sekadar jumpa kawan lama, boleh helo-helo dan jumpa makan capati di kedai mamak,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Tambah beliau, sehingga kini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh DAP berhubung isu tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.
“Bimbang nanti keluar kenyataan dari DAP bahawa kenyataan pemimpin-pemimpin Melayu DAP ini juga bukan pendirian rasmi parti,” ujarnya.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan ketiadaan kenyataan rasmi daripada jurucakap kerajaan berhubung perkara itu. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fadhli Shaari
