Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo menyeru seluruh ahli dan penyokong parti itu untuk terus memperkukuh semangat perjuangan sempena ulang tahun ke-60 DAP.
Menurut beliau, sokongan berterusan daripada ahli, pemimpin akar umbi serta penyokong menjadi tunjang kekuatan DAP sejak penubuhannya.
Katanya, komitmen, suara dan sumbangan semua pihak telah memastikan DAP terus kekal relevan dalam landskap politik negara.
“Kepada setiap ahli, pemimpin akar umbi dan semua yang telah bersama kami, komitmen, suara serta sumbangan anda telah menjadi kekuatan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Gobind menegaskan ulang tahun ke-60 DAP perlu dijadikan titik permulaan baharu untuk memperbaharui azam dan tekad parti.
Beliau berkata, momentum tersebut penting bagi memastikan perjuangan DAP terus bergerak ke hadapan.
“Ketika kita meraikan pencapaian ini, jadikan ia sebagai pembaharuan tekad.”
Tambahnya, DAP akan terus komited dalam mencapai matlamat utama membina sebuah Malaysia yang lebih kukuh dan bersatu.
“Marilah kita terus mara ke hadapan dengan matlamat utama untuk membina Malaysia yang bersatu, kuat dan berjaya!” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Gobind Singh Deo


