HOLLYWOOD, 21 Mac 2026 – Dunia hiburan antarabangsa dikejutkan dengan berita pemergian legenda seni mempertahankan diri dan pelakon terkenal, Chuck Norris, yang dilaporkan meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Perkara itu disahkan oleh ahli keluarganya menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagram pada Jumaat.
“Dengan hati yang berat, keluarga kami ingin berkongsi pemergian mengejut insan tersayang kami, Chuck Norris, pagi semalam.
“Walaupun kami ingin mengekalkan privasi mengenai keadaan pemergiannya, ketahuilah bahawa beliau dikelilingi keluarga dan berada dalam keadaan tenang,” menurut kenyataan tersebut.
Keluarga mendiang turut menzahirkan penghargaan terhadap kehidupan dan keperibadian Norris yang disifatkan sebagai tonggak keluarga.
“Bagi dunia, beliau adalah seorang pakar seni mempertahankan diri, pelakon dan simbol kekuatan.
“Namun bagi kami, beliau adalah suami yang setia, bapa dan datuk yang penyayang, abang yang luar biasa serta nadi keluarga kami.
“Beliau menjalani kehidupan dengan penuh keimanan, tujuan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap insan yang disayanginya,” jelas kenyataan itu lagi.
Chuck Norris dikenali di seluruh dunia menerusi watak Cordell Walker dalam siri televisyen popular Walker, Texas Ranger yang mencetuskan fenomena global pada era 1990-an.
Menurut laporan NBC News, mendiang merupakan antara figura paling berpengaruh dalam genre aksi, selain pernah membintangi pelbagai filem terkenal termasuk Delta Force dan Missing in Action.
Sebelum mencipta nama di Hollywood, Norris merupakan juara seni mempertahankan diri yang disegani dan pernah beraksi bersama legenda Bruce Lee dalam filem Way of the Dragon.
Pemergian beliau disifatkan sebagai kehilangan besar kepada industri hiburan global, dengan legasinya sebagai ikon aksi dan simbol kekuatan dijangka terus dikenang sepanjang zaman. –MYNEWSHUB


