Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Kenaikan harga minyak dunia akibat konflik di Timur Tengah memberi kesan kepada banyak negara yang terpaksa menanggung kos lebih tinggi, namun situasi tersebut berbeza bagi Malaysia yang turut menjadi pengeluar minyak.
Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, apabila harga minyak dunia meningkat, negara bukan sahaja berdepan kenaikan kos tetapi pada masa sama memperoleh pendapatan lebih tinggi daripada industri minyak.
“Ramai tanya saya, bila harga minyak dunia naik adakah Malaysia akan terjejas? Jawapan yang jujur, ya memang ada kesan. Apabila harga minyak dunia meningkat, kos pengangkutan dan barang di seluruh dunia juga naik.
“Rakyat memang akan merasai, tetapi ada satu kelebihan yang membantu negara kita untuk mengurangkan kesan kepada rakyat. Malaysia bukan sahaja pengguna minyak, Malaysia juga pengeluar minyak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul yang kini Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, Malaysia menghasilkan kira-kira 184 juta tong minyak mentah dan kondensat pada tahun lalu.
Justeru, katanya, peningkatan harga minyak dunia turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara daripada industri berkenaan.
Beliau berkata, sebagai contoh bagi tahun kewangan 2025, Petronas meluluskan dividen sekitar RM32 bilion kepada kerajaan, manakala bagi 2026 jumlahnya sekitar RM20 bilion.
Menurutnya, kekuatan sektor minyak dan gas itu membantu kerajaan melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga tenaga.
“Sebab itu di Malaysia harga RON95 untuk rakyat yang layak masih RM1.99 seliter melalui BUDI95.
“Walaupun harga tanpa subsidi lebih tinggi, kerajaan juga melaksanakan subsidi bersasar supaya bantuan sampai kepada rakyat yang memerlukan.
“Kita bukan sekadar membeli minyak, kita juga menghasilkan dan kekuatan itu kita gunakan untuk melindungi rakyat,” katanya. – MYNEWSHUB


