Oleh Mynewshub
WASHINGTON – Amerika Syarikat dilaporkan menghantar pesawat khas E-6B Mercury, yang sering digelar sebagai “Doomsday Plane” atau pesawat kiamat, ke rantau Timur Tengah ketika ketegangan geopolitik di kawasan itu semakin memuncak.
Laporan itu dipetik oleh portal antarabangsa yang memantau pergerakan pesawat tentera menggunakan data sumber terbuka (Open Source Intelligence – OSINT), yang mengesan penerbangan pesawat tersebut menuju ke rantau berkenaan pada 4 Mac lalu.
Pesawat E-6B Mercury merupakan pusat arahan udara strategik milik Tentera Laut Amerika Syarikat yang berfungsi sebagai pusat komunikasi utama bagi mengawal dan menyelaras operasi senjata nuklear negara itu.
Ia dilengkapi sistem komunikasi khas yang membolehkan pesawat tersebut berhubung secara langsung dengan kapal selam nuklear Amerika yang berada di bawah laut serta menyampaikan arahan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang membawa kepala peledak nuklear.
Lebih membimbangkan, pesawat ini direka untuk memastikan rantaian arahan nuklear Amerika Syarikat kekal berfungsi walaupun pusat arahan di darat musnah akibat serangan nuklear.
Ini bermakna sekiranya berlaku peperangan nuklear besar, E-6B Mercury masih mampu menghantar kod pelancaran kepada kapal selam nuklear, pelancar peluru berpandu darat dan pesawat pengebom strategik.
Penganalisis pertahanan melihat penempatan pesawat ini sebagai petanda tahap kesiapsiagaan tinggi dalam kalangan tentera Amerika ketika konflik di Timur Tengah semakin memuncak, khususnya melibatkan ketegangan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Pesawat berkenaan juga baru sahaja menerima naik taraf daripada syarikat pertahanan Northrop Grumman pada Jun 2023 bagi meningkatkan keupayaan sistem komunikasi dan peralatan dalaman.
Namun setakat ini, peranan sebenar pesawat tersebut dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran masih belum diketahui secara rasmi.
Sebelum ini beberapa laporan media antarabangsa turut mendakwa Washington merancang operasi ketenteraan jangka panjang terhadap Iran yang boleh berlangsung sehingga 100 hari, sekali gus menandakan kemungkinan konflik berskala besar di rantau itu.
Jika benar, kehadiran pesawat yang digelar sebagai “pesawat kiamat” ini memberi isyarat bahawa Amerika Syarikat sedang bersiap menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk senario eskalasi ketenteraan yang lebih serius.-MYNEWSHUB


