Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh, menyindir pihak yang sebelum ini lantang menentang operasi Lynas apabila kerajaan hari ini melanjutkan lesen operasi syarikat itu selama 10 tahun lagi.
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau mempersoalkan pendirian pemimpin tertentu yang dahulunya mendakwa kilang tersebut berbahaya, namun kini berada dalam kerajaan yang membuat keputusan melanjutkan operasinya.
“Alhamdulilah lesen operasi Lynas dilanjut 10 tahun lagi oleh kerajaan Malaysia yang ditadbir oleh mereka yang dulunya menolak dan menfitnah kerajaan Barisan Nasional (BN) tentang bahaya kilang Lynas ini,” katanya.
Beliau turut menyindir dengan nada sinis mengenai dakwaan bahaya yang pernah dibangkitkan terhadap kilang tersebut.
“Rupanya bahaya Lynas ini bukan boleh menjadikan seseorang itu cacat, tetapi kesan Lynas boleh menjadikan seseorang itu menteri rupanya,” ujarnya.

Dalam masa sama, Akmal turut mempersoalkan nasib golongan yang sebelum ini aktif menyertai demonstrasi membantah operasi Lynas.
“Apa khabar semua yang berdemo anti Lynas dulu ya? Mereka dah jadi menteri, anda bagaimana?” soalnya lagi.
Isu Lynas sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 menjadi polemik politik apabila beberapa pihak mendakwa operasinya memberi risiko kepada kesihatan dan alam sekitar.
Namun kerajaan dari semasa ke semasa menegaskan bahawa operasi tersebut tertakluk kepada syarat dan pemantauan ketat pihak berkuasa. – MYNEWSHUB


