KUWAIT – Kementerian Pertahanan Kuwait mengesahkan beberapa pesawat pejuang tentera Amerika Syarikat (AS) terhempas di negara itu pada Isnin, namun semua kru dilaporkan selamat.
Dalam satu kenyataan rasmi, kementerian berkenaan bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar pesawat yang terlibat serta punca kejadian.
Iran mendakwa pesawat-pesawat berkenaan ditembak jatuh pihak mereka manakala AS pula mendakwa ia terjadi akibat kesilapan tembakan sendiri atau friendly fire.
Insiden itu disahkan selepas beberapa video yang dianalisis media antarabangsa menunjukkan sebuah jet pejuang terhempas dan juruterbangnya sempat melenting keluar menggunakan payung terjun.
Menurut analisis rakaman video, pesawat yang terlibat dipercayai jenis F-15E, iaitu jet pejuang pelbagai peranan milik Amerika Syarikat.

Video tersebut menunjukkan pesawat terbakar sebelum menjunam ke bumi, manakala juruterbang dilihat mendarat di kawasan gurun.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kuwait, Kolonel Said Al-Atwan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan sebaik insiden dilaporkan.
> “Semua kru berjaya keluar dari lokasi nahas dan telah dibawa ke hospital bagi penilaian kesihatan serta menerima rawatan yang diperlukan,” katanya.
Tambah beliau, keadaan semua kru berada dalam keadaan stabil, dan pihak Kuwait kini berada dalam koordinasi langsung dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat berhubung kejadian tersebut.
Salah satu rakaman yang dikenal pasti menunjukkan pesawat terhempas berhampiran sebuah pangkalan udara Amerika Syarikat, dipercayai sekitar 10 kilometer dari Ali Al Salem Air Base.
Video lain pula memaparkan seorang juruterbang lengkap berpakaian penerbangan berlutut di atas tanah bersebelahan payung terjun berwarna oren dan putih, dipercayai selepas melenting keluar dari pesawat.
Setakat ini, punca kemalangan masih belum diketahui, dan pihak tentera Amerika Syarikat termasuk Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) serta Rumah Putih dilaporkan telah diminta mengeluarkan kenyataan rasmi.
Pesawat F-15E dianggarkan bernilai puluhan juta dolar sebuah, menjadikan insiden ini antara kejadian ketenteraan yang mencuri perhatian di tengah ketegangan keselamatan serantau.
— Mynewshub


