Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – “Dia bernasib baik sebab (Tan Sri) Azam Baki suka dia. Kalau tak, dia pun kena siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebab runding perjanjian secara tergesa-gesa”
Demikian sindiran keras bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli terhadap bekas Menteri Pelaburan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ia sebagai reaksi balas kepada kenyataan Tengku Zafrul semalam yang meminta Rafizi tidak memutar belit isu berhubung Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS)
“Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli) janganlah asyik nak spin, letihlah nak layan Bulan puasa Ini kita nak fokus ibadah. Apa benda yang kena bayar tarif dua kali ganda ini.
“Bila Mahkamah Agung AS dah batalkan tarif, maknanya tarif 19 peratus yang kena kat Malaysia pun dah tak jadilah,” kata Tengku Zafrul.
Rafizi mendakwa, Tengku Zafrul namun tidak menjawab beberapa perkara apabila membuat kenyataan tersebut.
“Tengku Zafrul konon sekolahkan saya mengenai perjanjian ART, selepas mahkamah US mengisytiharkan tarif yang dikenakan tidak sah.
“Jadi ok lah, kita pun dapat tarif yang sama macam negara lain yang tak susah-susah runding. Tapi dia tak jawab beberapa perkara,” katanya.
Dakwa Rafizi, keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan tarif timbal balas hanya melibatkan cukai yang dikenakan secara unilateral oleh Presiden Donald Trump.
Dakwanya, ia tidak melibatkan perjanjian perdagangan yang telah dimeterai dan Washington jelas menyatakan bahawa perjanjian yang telah ditandatangani kekal berkuat kuasa dan berbeza daripada tarif 15 peratus yang baharu diumumkan.
Rafizi memetik kenyataan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Jamieson Greer yang menegaskan perjanjian-perjanjian tersebut masih sah dan tidak terkesan dengan perubahan tarif baharu itu.
Beliau juga mendakwa Malaysia berisiko terikat dengan pelbagai syarat yang boleh menjejaskan kedaulatan negara, sedangkan negara lain tidak perlu mematuhi syarat sama. – MYNEWSHUB
BACA: Tarif Trump Tidak Sah: Rafizi Persoal Tiada Siasatan SPRM Terhadap PMX Dan Zafrul


