DENGKIL: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menolak desakan supaya beliau bercuti susulan siasatan yang sedang dijalankan terhadap dirinya.
Menjawab desakan beberapa Ahli Parlimen supaya beliau mengambil cuti, Azam berkata, perkara itu bukan isu.
“Itu terpulang kepada mereka. Saya tidak perlu bercuti,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini sambil mengulangi kesediaannya untuk disiasat oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan.
“Saya bersedia pada bila-bila masa dan jika dipanggil, saya akan menyerahkan dokumen-dokumen yang berkaitan. Saya tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan,” katanya.
Mengenai protes dirancang diadakan di ibu negara hari ini, Azam berkata: “Saya tidak mahu ulas. Sebelum ini sudah banyak demonstrasi terhadap saya, ini bukan kali pertama, anda boleh semak rekod”.
Tambahnya, terpulang kepada pihak berkenaan sama ada mahu berhimpun atau mengadakan protes.
Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Moktar yang mengetuai Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham oleh Azam, memaklumkan siasatan terhadap dakwaan itu sudah dimulakan.
“Siasatan telah pun bermula. Sebagai langkah permulaan, kami sedang mengumpul maklumat berkaitan kes berkenaan,” katanya.
Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Jawatankuasa itu akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi memberikan pengadilan sewajarnya kepada pihak yang disiasat. Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri dan Pihak Berkuasa Tatatertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tatacara sewajarnya.
Terdahulu, media asing Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu pada sidang media baru-baru ini, menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Malah, Azam dilaporkan berkata, tidak ada perkara yang disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham berkenaan yang dibeli tahun lalu sudah dilupuskan dalam tahun sama.
BERITA LANJUT MENYUSUL
BHonline-


