Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – “Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli) janganlah asyik nak spin, letihlah nak layan. Bulan puasa ni kita nak fokus ibadah”
Demikian reaksi mantan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz terhadap dakwaan Rafizi berhubung Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS)
Menurut beliau, dakwaan Rafizi negara kini perlu membayar tarif dua kali ganda susulan keputusan Mahkamah Agung AS bersabit ART baru-baru ini adalah tidak berasas.
“Apa benda yang kna bayar tarif dua kali ganda ni? Bila Mahkamah Agung AS dah batalkan tarif, maknanya tarif 19 peratus yang kena kat Malaysia pun dah tak jadilah,” katanya menerusi media sosial hari ini.
Tengku Zafrul berkata, pendekatan Malaysia dalam memeterai perjanjian ART adalah langkah proaktif bagi melindungi kepentingan ekonomi negara dan bukannya tindakan tergesa-gesa.
Menurut beliau, konsep perjanjian ART sebenarnya mudah difahami dan boleh diibaratkan seperti insurans perjalanan.
“Bila kita nak melancong, kita selalu fikir takkan jadi apa-apa. Tapi bila masuk hospital luar negara, bil boleh cecah puluhan ribu ringgit. Waktu itu barulah kita faham kenapa bayar takaful itu penting,” katanya.
Beliau berkata, ART juga berfungsi atas prinsip yang sama iaitu bersedia lebih awal sebelum berdepan risiko yang tidak dijangka.
“Kita sediakan payung sebelum hujan. Kita tahu kes mahkamah sedang berjalan. Tetapi kalau kita tunggu sampai kes selesai dan keputusan memihak kepada Donald Trump, bagaimana? Masa itu baru nak mula berunding, kita akan terhegeh-hegeh,” ujarnya.
Tengku Zafrul menjelaskan bahawa dalam landskap perdagangan global yang pantas dan kompetitif, kelewatan membuat keputusan boleh membawa implikasi besar.
“Dalam perdagangan global hari ini, siapa lambat bergerak akan bayar harga yang mahal. Sebab itu kita mesti bertindak awal,” katanya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa Malaysia bertindak secara bersendirian, sebaliknya mengambil langkah selari dengan negara-negara utama dunia.
“Kesatuan Eropah, United Kingdom, Jepun, Korea dan terkini jiran kita Indonesia telah capai persefahaman dengan Amerika Syarikat. Adakah semua negara ini tergesa-gesa? Atau mereka mahu beri kepastian kepada industri masing-masing?” soalnya.
Tegas beliau, isu itu bukan soal siapa paling lantang bersuara, sebaliknya siapa yang paling awal bertindak demi melindungi ekonomi negara.
“Akhirnya, ini bukan soal siapa paling kuat bercakap. Ini soal siapa paling awal bertindak untuk lindungi ekonomi negara. Kita pilih untuk proaktif kerana setiap keputusan perdagangan melibatkan pekerjaan rakyat dan masa depan industri Malaysia,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, Tengku Zafrul menegaskan bahawa kerajaan tidak mahu bertindak hanya selepas krisis berlaku.
“Ada orang tunggu ribut datang, lepas itu baru sibuk bercakap tentang cara nak selamat. Kita pula pilih untuk pasang payung awal supaya rakyat tak perlu basah dulu baru nak cari teduh,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Tengku Zafrul


