Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu dipilih sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN)
Perkara itu dimaklumkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau selepas selesai mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) PN di ibu pejabat PAS di sini hari ini.
Ahmad Samsuri menggantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yasin yang meletak jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Peletakan jawatan itu dipercayai ada kaitan dengan pelbagai desakan pemimpin PAS terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam PN susulan krisis politik di Perlis sebelum Ini.
Kemelut politik di Perlis selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS dan Bersatu menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis.
SD itu menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan ADUN Sanglang daripada Pas, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail kemudian berkenan melantik ADUN Kuala Perlis dari Bersatu, Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis baharu.
Selepas pelantikan Menteri Besar baharu itu, ramai pemimpin PAS menyindir dan mengkritik Bersatu terutama Muhyiddin. – MYNEWSHUB



