MELAKA: Lelaki yang mendakwa kanak-kanak perempuan dibawanya untuk mengemis dengan memakai kostum Spiderman sebagai anak saudara adalah tidak benar selepas siasatan mendapati tiada sebarang pertalian darah antara mereka.
Lelaki itu yang turut memakai kostum Spiderman ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka kerana dipercayai melakukan aktiviti eksploitasi kanak-kanak dengan cara mengemis.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, semakan JKM mengesahkan lelaki berusia 50 tahun dan dikenali sebagai ‘Uncle Awe’ sebenarnya hanya bapa angkat kepada keluarga kanak-kanak berkenaan.
Beliau berkata, lelaki yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan itu didapati sekadar menumpang di rumah adik kepada ibu kanak-kanak itu di kawasan berhampiran dan bukannya menetap di Paya Mengkuang seperti didakwa.
“Walau apa pun alasan diberikan, mereka tidak sepatutnya tinggal serumah kerana bukan muhrim dan boleh menimbulkan fitnah.
“Saya turut menasihatkan ibu kanak-kanak itu supaya tidak mudah membenarkan anaknya mengikut sesiapa walaupun individu dikenali,” katanya selepas melawat keluarga itu di Kampung Paya Rumput di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Halyjah Muhamad.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, semakan turut mendapati keluarga berkenaan menerima bantuan am bulanan RM250 daripada JKM sejak tahun lalu, namun pihaknya sedang mempertimbangkan keperluan menambah jumlah bantuan itu susulan kesempitan hidup yang dialami.
Katanya, kehadiran beliau sebagai EXCO bukanlah untuk menuding jari kepada sesiapa namun melihat sebarang keperluan lain yang boleh dibantu supaya insiden seumpama ini tidak berulang lagi lebih-lebih lagi membabitkan kanak-kanak.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki sanggup membawa anak saudara perempuannya yang baru berusia tujuh tahun untuk mengemis dengan memakai kostum Spiderman semata-mata untuk mendapatkan pendapatan mudah.
Tindakan lelaki berusia 50 tahun itu akhirnya terbongkar selepas Kalsom bersama JKM Melaka menahannya di sebuah kawasan stesen minyak di daerah Melaka Tengah kira-kira jam 6 petang Ahad lalu.
BHonline-


