Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Niat murni seorang ibu membawa anak kecil ke masjid untuk berbuka puasa dan menunaikan solat bertukar menjadi pengalaman pahit apabila mendakwa dilayan secara kasar oleh individu yang dikatakan bertugas sebagai pengawas masjid.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial menerusi satu hantaran panjang yang kini tular, apabila beliau meluahkan rasa kecewa terhadap layanan yang diterima sepanjang berada di masjid berkenaan.
Menurut wanita itu, kejadian berlaku ketika beliau sekeluarga tiba di masjid sekitar waktu berbuka selepas anaknya tamat kelas seni.
Mereka memilih untuk berbuka di masjid kerana menyangka ia lebih mudah sebelum terus menunaikan solat berjemaah.
Namun, situasi bertukar tegang apabila anaknya yang baru berusia tujuh tahun dikatakan ditegur dengan nada keras ketika sedang beratur untuk mengambil makanan berbuka.
“Anak saya baru hulur tangan nak ambil makanan, tiba-tiba ditegur dengan kasar. Anak terus terkejut,” tulisnya.
Beliau turut mendakwa suaminya pula dimarahi ketika mengambil kuih kerana disangka “memilih makanan”, walaupun tujuan sebenar adalah mengambil kuih kegemaran anak mereka.
Keadaan dikatakan berlarutan ke dalam ruang solat apabila beberapa individu yang didakwa pengawas masjid menegur jemaah, termasuk kanak-kanak, dengan nada tinggi dan tidak berhemah.
Malah, terdapat dakwaan jemaah yang membawa anak kecil diminta solat di tempat lain.
“Masjid bukan rumah persendirian. Kami datang nak beribadah, bukan nak rasa dihina,” katanya.
Luahan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Ramai tampil menyuarakan simpati dan berkongsi pengalaman hampir sama, khususnya melibatkan layanan terhadap jemaah yang membawa kanak-kanak ke masjid.
Sebahagian netizen turut mengingatkan bahawa masjid seharusnya menjadi ruang mendidik dan mendamaikan, bukan tempat yang menakutkan kanak-kanak daripada mendekati ibadah.
Bagaimanapun, ada juga yang berpendapat adab dan disiplin di dalam masjid perlu dijaga, namun menegaskan teguran harus disampaikan dengan hikmah dan kasih sayang.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan masjid berhubung dakwaan tersebut.
Namun, insiden ini sekali lagi membuka perbincangan mengenai pendekatan terbaik dalam menguruskan jemaah, khususnya keluarga dan kanak-kanak, agar masjid kekal sebagai institusi mesra ummah.-MYNEWSHUB
