KUALA LUMPUR – Seorang calon temu duga mendakwa menerima mesej berunsur ugutan daripada seorang wanita yang mengaku sebagai isteri kepada individu yang dijadualkan menemu duganya, dalam satu kejadian yang kini tular di media sosial.
Berdasarkan tangkap layar perbualan yang dikongsi, wanita berkenaan meminta calon tersebut supaya tidak menghadiri sesi temu duga kerana tidak mahu beliau bekerja di bawah suaminya.
“Hi you amilia? You ada interview dengan husband i kan esok? Jangan accept interview sebab i taknak you kerja under husband i,” tulis individu tersebut dalam mesej yang dihantar.
Calon berkenaan kemudian membalas dengan bertanyakan suami yang dimaksudkan memandangkan dia mempunyai beberapa sesi temu duga pada hari yang sama.
Susulan mesej berulang kali diterima, calon itu akhirnya memaklumkan kepada individu yang sepatutnya menjadi penemu duga bahawa dia membuat keputusan untuk tidak meneruskan sesi tersebut atas faktor keselamatan dan privasi.
Dalam mesej rasmi yang dihantar, dia menyatakan kebimbangan mengenai kebocoran nombor telefon peribadi selain berasa tidak selesa dengan tindakan isteri individu terbabit yang menghantar mesej berunsur ancaman.
“Saya rasa kita tidak patut meneruskan interview kerana tindakan tersebut agak keterlaluan. Saya juga tidak mahu menimbulkan sebarang masalah dalam perkahwinan tuan,” tulisnya.
Isu tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Ada yang mempersoalkan profesionalisme pihak terlibat sekiranya benar individu tersebut merupakan majikan, manakala ada juga yang berpendapat kemungkinan berlaku salah faham.
Setakat ini, identiti serta latar belakang individu terlibat belum dapat disahkan dan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak.
Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati ketika berkongsi maklumat peribadi termasuk nombor telefon, serta memastikan urusan temu duga dilakukan melalui saluran rasmi syarikat bagi mengelakkan sebarang risiko gangguan.
Mynewshub akan cuba mendapatkan maklum balas lanjut sekiranya terdapat perkembangan baharu.


