Oleh Mynewshub
TAHUN ini kerajaan tampil membanteras kewujudan ‘middleman’ yang didakwa mengaut keuntungan melalui penyewaan tapak bazar Ramadan.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula menurunkan kadar sewa tapak Ramadan 2026 daripada RM500 kepada RM400.
Secara teori langkah itu akan menurunkan kos peniaga, namun ramai jua pengguna meluahkan di media sosial harga di bazar masih mahal berbanding restoran.
Ramai yang sinis, tapi sebelum cap peniaga sebagai tamak, elok lihat struktur kos sebenar. Harga bahan mentah memang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kos logistik, upah pekerja sambilan dan pembungkusan juga naik. Logiknya, peniaga akan memindahkan kenaikan kos kepada pengguna. Jika kos naik 20 peratus, harga jualan cenderung ikut naik.
Sekiranya kos bahan mentah,
gas memasak, minyak, pekerja dan pembungkusan benar-benar meningkat tinggi, adakah peniaga wajar dipersalahkan?
Tetapi jika segala kos yang terlibat dalam proses penyediaan makanan dan minuman masih rendah, sememangnya ada yang tidak kena dengan peniaga terlibat.
Tindakan wajar diambil oleh pihak berwajib kerana aktiviti pencatutan.
Bazar Ramadan juga beroperasi atas konsep ‘musim panas setahun sekali’. Bila permintaan melonjak dan bekalan terhad, harga cenderung naik.
Lagi ada fenomena psikologi. Lapar dan penat, nampak air balang berharga kayangan pun mungkin dimaafkan. Dalam keadaan itu, peniaga tahu pembeli tetap beli walau harga naik.
Sebahagian orang kita biasanya kurang berkira asalkan ayamnya betul-betul ayam, bukan sekadar bayang ayam. Saiz, isi dan rasa setimpal. Kalau mahal tapi puas hati, kurang rungutan.
Masalah timbul bila harga premium, tetapi kualiti ‘ekonomi’. Air separuh cawan, ayam tulang lebih isi kurang, kuih makin mengecil.
Pegang konsep mudah. Barang dia, duit kita. Rasa tak berbaloi, cari gerai lain. Bazar penuh pilihan. Pasaran akan hukum peniaga letak harga tidak masuk akal.
Akhirnya, isu harga juadah bazar bukan semata-mata soal tamak atau tidak. Ia gabungan kos, strategi perniagaan, psikologi pengguna dan permintaan tinggi.
Sebagai pengguna, kita ada pilihan. Sebagai peniaga, mereka ada tanggungjawab moral. Ramadan bukan sekadar bulan berniaga, ia juga bulan menimbang antara untung dan berkat. – MYNEWSHUB


