Kuala Lumpur: Dua lelaki ditahan selepas dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh dalam kereta di tempat awam di Jalan Taman Intan Baiduri, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, dua lelaki berusia 29 dan 24 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan polis pada 2 pagi.
Menurutnya, anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan mengesan dua lelaki berkenaan dalam sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut menemui satu gumpalan tisu dipercayai mengandungi cecair di lantai penumpang belakang. Semakan ke atas kedua-dua suspek dan kenderaan mendapati tiada rekod jenayah.
“Lelaki berusia 29 tahun itu mengaku melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang lagi lelaki dalam kereta berkenaan. Dua lelaki yang bekerja sebagai jurujual itu ditahan.
“Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kedua-dua lelaki itu direman selama tiga hari sehingga semalam dan sudah dibebaskan dengan jaminan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut.
-Harian Metro


