KUALA LUMPUR, 27 Februari 2026 — Pihak pengurusan Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail menafikan dakwaan masjid itu diboikot, susulan satu hantaran tular di aplikasi Threads yang mempersoalkan kehadiran jemaah berbuka puasa di masjid berkenaan.
Dalam kenyataan rasmi, pihak masjid memaklumkan bahawa hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna Threads pada 22 Februari lalu sekitar jam 6.32 petang hanya memaparkan suasana awal sebelum waktu berbuka, ketika jemaah belum memenuhi ruang masjid sepenuhnya.

Menurut pihak masjid, kebiasaannya jemaah mula hadir secara berperingkat bermula sekitar jam 7 malam, selaras dengan amalan pada Ramadan tahun-tahun sebelum ini.
“Setiap hari sepanjang Ramadan, kehadiran jemaah berbuka puasa di Masjid At-Taqwa dianggarkan sekitar 800 hingga 1,000 orang, dan pihak masjid sentiasa menyantuni semua jemaah tanpa mengira latar belakang,” menurut kenyataan itu.
Pihak masjid turut menjelaskan bahawa persiapan makanan berbuka puasa sentiasa mencukupi, malah makanan tambahan akan disediakan sekiranya jumlah jemaah melebihi jangkaan. Selain itu, lebihan makanan turut diagihkan kepada orang awam di Stesen MRT Taman Tun Dr Ismail serta dihantar ke rumah ahli kariah yang uzur.
Bagi Ramadan tahun ini, pihak masjid memperuntukkan dana sebanyak RM450,000 bagi menjayakan program berbuka puasa, moreh dan sahur sepanjang bulan mulia tersebut.
Mengulas mengenai adab dan pengimarahan masjid, pengurusan Masjid At-Taqwa menegaskan komitmen mereka dalam menyediakan program keilmuan berterusan dengan penglibatan barisan asatizah bertauliah.
“Setiap hari diadakan kuliah Subuh, Maghrib, Dhuha serta kuliah Zohor Muslimat. Kehadiran jemaah solat Subuh berjemaah pula mencecah sekitar 500 orang setiap hari,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, pihak masjid turut menekankan usaha menyantuni golongan belia dan kanak-kanak melalui pelbagai inisiatif termasuk kelas mengaji al-Quran mingguan, program kanak-kanak peringkat masjid, Khatan Perdana, Kids Zone sepanjang Ramadan serta aktiviti riadah seperti sukan dan e-sukan.
Pengurusan masjid juga memberi jaminan bahawa segala urusan pentadbiran, kewangan dan pengurusan jenazah dilaksanakan mengikut garis panduan serta perundangan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan.
Mengakhiri kenyataan, pihak Masjid At-Taqwa menyeru semua pihak agar menjadikan Ramadan sebagai medan memperkukuh kesatuan ummah, menyemai kefahaman dan meraikan perbezaan demi keharmonian bersama.
