Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Al-Quran menuntut umat Islam untuk berlaku adil walaupun terhadap golongan yang berbeza kepercayaan.
Pengerusi Pasukan Tindakan Pemeliharaan Kuil (Tepat), Arun Dorasamy berkata, perkara itu terkandung dalam Surah Al-Ma’idah 5:8.
“Prinsip ini menuntut agar sebarang tindakan terhadap rumah ibadat minoriti termasuk kuil Hindu yang dikategorikan sebagai Kuil Tanpa Pendaftaran Tanah (KTPT) ditangani melalui proses rundingan, pemutihan atau penempatan semula yang berperikemanusiaan.
“Bukan melalui naratif yang menyamaratakan atau melabel tanpa asas fakta yang bersikap menghina,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial semalam.
Arun berkata, al-Quran turut mengiktiraf kepentingan melindungi semua rumah ibadat tanpa mengira agama seperti yang terkandung dalam Surah Al-Hajj 22:40.
Menurut beliau, ayat itu sering dirujuk oleh para sarjana sebagai asas kepada tanggungjawab moral untuk mempertahankan tempat ibadat semua komuniti daripada kemusnahan atau penganiayaan.
Justeru, katanya, dalam negara yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 11 yang menjamin kebebasan beragama, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk membina naratif menghina.
Kara beliau, penghinaan itu berpotensi menghalalkan tindakan mencaci, menghina mengugat, tanpa mengambil kira hak sejarah, sensitiviti masyarakat dan prinsip keadilan sejagat.
“Malaysia sebagai sebuah negara majmuk memerlukan pendekatan yang berasaskan fakta, dialog dan rasa tanggungjawab bersama — selari dengan nilai-nilai keadilan yang dituntut oleh agama dan undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Arun berkata, perbahasan awam berhubung kewujudan rumah ibadat minoriti di Malaysia tidak boleh didorong oleh label, persepsi atau retorik semata-mata.
Kata beliau, tuduhan bahawa rumah ibadat tertentu sebagai kuil haram, kuil gengster tanpa penelitian sejarah, status tanah, rundingan terdahulu dan bukti dokumentasi adalah satu pendekatan yang berbahaya kepada keharmonian negara majmuk.
“Dalam konteks ini, adalah penting untuk kembali kepada prinsip keadilan sejagat termasuk yang terkandung dalam ajaran Islam sendiri,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Arun Dorasamy


