WANITA DITEMBAK MATI AGEN ICE DI MINNEAPOLIS CETUS KEMARAHAN
OLEH MYNEWSHUB
MINNEAPOLIS – Seorang wanita ditembak mati oleh ejen Penguat Kuasa Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (US Immigration and Customs Enforcement / ICE) dalam satu kejadian tegang di jalan raya di Minneapolis pada Rabu, sekali gus mencetuskan kemarahan dan persoalan awam terhadap tindakan agensi persekutuan itu.
Mangsa dikenal pasti sebagai Renee Nicole Good, 37, seorang penduduk Minneapolis.
Kejadian dilaporkan berlaku berhampiran 34th Street dan Portland Avenue, lokasi beberapa kenderaan ICE diletakkan sebagai sebahagian daripada operasi penguatkuasaan berskala besar di bandar berkenaan.
Menurut laporan Axios, ketika pemandu cuba bergerak mengelilingi kenderaan persekutuan yang menghalang laluan, satu konfrontasi tercetus.
Rakaman video yang tular menunjukkan ejen ICE menghampiri sebuah SUV yang didakwa menghalang jalan.
Ketika kenderaan itu mula bergerak, seorang ejen yang berada berhampiran bahagian hadapan SUV melepaskan tiga das tembakan ke arah tingkap sebelah pemandu.
Renee Good dilaporkan terkena tembakan dan kemudian meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Beberapa laporan media menyatakan mangsa ditembak tiga kali di bahagian muka.
Ketua Polis Minneapolis, Brian O’Hara, mengesahkan wanita yang terbunuh bukan sasaran mana-mana tindakan penguatkuasaan imigresen.
Insiden itu kini menjadi perhatian umum dan disiasat pihak berkuasa berkaitan.
Mangsa Bukan Sasaran Operasi
Pegawai persekutuan mendakwa tembakan dilepaskan selepas Renee dikatakan enggan keluar dari kenderaannya apabila diarahkan oleh ejen ICE.
Namun, kenyataan itu dipersoalkan keluarga mangsa serta orang awam yang melihat rakaman kejadian.
Dalam beberapa video selepas insiden, kedengaran jeritan seorang individu yang dipercayai pasangan mangsa sambil menjerit, “She’s my wife!” ketika orang ramai cuba memberikan bantuan kecemasan.
“Dia Wanita Paling Baik Yang Saya Kenal”
Ibu mangsa, Donna, memberitahu Star Tribune bahawa keluarganya masih terkejut dan sukar menerima apa yang berlaku.
Menurutnya, dakwaan terhadap anak perempuannya tidak masuk akal.
“Itu sangat bodoh. Dia mungkin sangat ketakutan,” katanya.
Donna menggambarkan Renee sebagai seorang insan yang penyayang dan banyak menghabiskan hidupnya menjaga orang lain.
“Dia penyayang, pemaaf dan penuh kasih sayang. Dia seorang manusia yang luar biasa,” katanya lagi.
Tinggalkan Anak Kecil
Menurut laporan, Renee tinggal di kawasan Twin Cities bersama pasangannya. Beliau pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai seorang anak lelaki berusia sekitar empat atau lima tahun.
Rakaman lain di media sosial turut memaparkan seorang wanita yang mendakwa dirinya isteri Renee, dalam keadaan terkejut dan menangis, sambil memaklumkan mereka mempunyai seorang anak berusia enam tahun yang berada di sekolah ketika kejadian berlaku.
Insiden ini mencetuskan kemarahan awam dan perdebatan meluas mengenai penggunaan kekerasan oleh agensi persekutuan dalam operasi penguatkuasaan imigresen, khususnya apabila melibatkan orang awam yang tidak menjadi sasaran operasi.
Setakat ini, pihak ICE belum mengeluarkan kenyataan terperinci mengenai tindakan lanjut terhadap ejen yang terlibat, sementara siasatan masih berjalan.-MYNEWSHUB


