KUALA LUMPUR, 19 Januari 2026 – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan sistem pendidikan negara perlu terus diperkasakan kerana ia menjadi asas utama pembinaan bangsa, pengukuhan jati diri serta hala tuju masa depan Malaysia.
Titah Seri Paduka Baginda itu disampaikan ketika menyampaikan Titah Diraja pada Sidang Dewan Rakyat bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15, hari ini.
Menurut Baginda, sekiranya negara mahu memperkenalkan sistem pendidikan baharu, pelaksanaannya mestilah selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, selain memastikan Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa utama kerana ia merupakan bahasa kebangsaan.
“Jika hendak mewujudkan sistem pendidikan yang baharu, ia mesti dilaksanakan selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia merupakan bahasa kebangsaan.
“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa-apa sistem pendidikan lain mesti menerima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia,” titah Baginda.
Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa pengukuhan sistem pendidikan amat penting bagi memastikan generasi masa hadapan dibangunkan dengan nilai jati diri yang kukuh, selain selari dengan keperluan pembangunan negara yang mampan dan inklusif.
Dalam titah berkenaan, Baginda menegaskan penerimaan terhadap Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia perlu menjadi keutamaan dalam membentuk rakyat yang bersatu padu serta memahami asas pembinaan negara.
— Mynewshub


