Sultan Ibrahim Zahir Nasihat Tegas Panglima Tentera Darat Baharu: Tolak Rasuah, Jaga Amanah
Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) yang baharu agar seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) berpegang teguh kepada prinsip integriti, amanah dan ketelusan dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan negara.
Titah berkenaan disampaikan Seri Paduka Baginda ketika berkenan menerima menghadap Jeneral Datuk Azhan Md Othman, Panglima Tentera Darat ke-31, di Istana Bukit Tunku, hari ini.

Menurut Baginda, rasuah merupakan musuh utama kepada kekuatan serta kredibiliti angkatan pertahanan negara dan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali.
“Rasuah boleh meruntuhkan institusi, melemahkan pertahanan negara dan menghakis kepercayaan rakyat,” titah Seri Paduka Baginda.
Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sultan Ibrahim turut menegaskan bahawa kepimpinan berintegriti mesti bermula dari peringkat tertinggi, dan Panglima Tentera Darat hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus serta bertanggungjawab.
Baginda juga mengulangi pendirian tegas berhubung kewujudan ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan, sambil menegaskan bahawa amalan sedemikian tidak seharusnya dibenarkan masuk kerana berpotensi membuka ruang kepada salah laku dan rasuah.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar TDM terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan yang profesional, berdisiplin serta bebas daripada amalan rasuah, demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Untuk rekod, Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik secara rasmi sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu, selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 yang bersidang pada 19 November 2025 dan diperkenankan Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.
— Mynewshub


