BATU PAHAT – Seorang wanita warga tempatan maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kereta di Batu 14, Jalan Labis–Yong Peng, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.45 malam, 9 Januari 2026.
Menurut beliau, siasatan awal Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) IPD Batu Pahat mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Proton Saga yang dipandu dari arah Segamat menuju ke Yong Peng untuk pulang ke rumah di Parit Raja, dipercayai dilanggar secara berhadapan oleh sebuah Toyota Yaris dari arah bertentangan.
“Kereta Toyota Yaris dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan yang sedang dilalui Proton Saga, lalu menyebabkan perlanggaran secara bertembung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat perlanggaran itu, penumpang Proton Saga iaitu seorang wanita berusia 57 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat kira-kira jam 10.20 malam.

Suami mangsa yang berusia 64 tahun dan memandu Proton Saga turut mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kaki, dan kini masih menerima rawatan di Zon Merah HSNI.
Sementara itu, pemandu Toyota Yaris, seorang wanita berusia 32 tahun, dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan kaki.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan.
Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


