KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 45 laporan berhubung isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Laporan pertama dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 24 Disember lalu, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, berkaitan isu berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata setakat ini pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan.
“Setakat ini sebanyak 45 laporan diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).
“Kita juga sudah merakam percakapan lapan individu bagi membantu siasatan,” katanya kepada media hari ini.
Bagaimanapun identiti lapan individu berkenaan tidak didedahkan.
Sebelum ini Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan tindakan membuat laporan polis dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka Disember lalu.
Beliau dilaporkan berkata FAM komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Langkah ini mencerminkan komitmen FAM terhadap integriti, ketelusan dan pembaharuan tadbir urus demi menjaga kepentingan bola sepak negara,” katanya.
-Berita Harian


