SERDANG: Kejayaan negara menganjurkan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, termasuk menghimpunkan pemimpin dunia, mendapat perhatian pada peringkat antarabangsa, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, selain aspek logistik yang baik, negara berjaya mencatat keberhasilan dan kejayaan membanggakan sepanjang memegang jawatan Pengerusi ASEAN.
“Kita telah berjaya menjadi Pengerusi ASEAN 2025 walaupun melalui berbagai-bagai masalah dalam geopolitik dunia yang tidak menentu,” katanya sambil memaklumkan pencapaian itu menjadi perhatian dunia.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mohamad berkata, Malaysia juga sentiasa mendapat kepercayaan ASEAN kerana dipilih menjadi ‘permanent shepherd’ atau pengemudi kepada Visi Komuniti ASEAN 2045 untuk 20 tahun yang akan datang.
“Jadi, inilah kepercayaan masyarakat ASEAN terhadap Malaysia. Sehinggakan kedua-dua negara bersahabat, Thailand dan Kemboja bersengketa mengenai masalah sempadan, mereka datang ke Malaysia untuk menyelesaikan masalahnya.
“Jadi, ini suatu kebanggaan kepada kita sebagai tuan rumah, penyelaras, pemudah cara (ketika menjadi Pengerusi ASEAN),” katanya.
Beliau sekali gus merakamkan penghargaan kepada semua pihak sama ada sektor kerajaan mahupun swasta, yang menjayakan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
“Kita dapat menguruskan kedatangan, ketibaan pemimpin-pemimpin negara dari seluruh dunia, bukan calang-calang yang datang,” katanya.
Pada Oktober lalu, Malaysia secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, secara simboliknya menandakan peralihan kepimpinan ketika Malaysia memasuki fasa akhir selaku Pengerusi bagi 2025.
Sejak mengambil alihnya daripada Laos, Malaysia telah menumpukan kepada usaha memperkukuhkan perpaduan, keterangkuman dan kemampanan.
Dua pencapaian penting yang menandakan kejayaan sepanjang kepengerusian itu ialah kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN, serta pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Kemboja dengan Thailand.
Sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967, ini kali kelima Malaysia menggalas tanggungjawab selaku pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-Berita Harian


