Niat Cuci Kaki Bertukar Tragedi, Kanak-Kanak 4 Tahun Hilang Ditarik Ombak
KUALA NERUS – Niat sekadar mencuci kaki di gigi air bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan hilang selepas dihanyutkan ombak besar di Pantai Sauh, Batu Rakit, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Nerus, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika mangsa yang berasal dari Negeri Sembilan berada di pantai berkenaan bersama ibu saudaranya serta empat kanak-kanak lain.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati ibu saudara mangsa yang menetap di Batu Rakit membawa lima kanak-kanak tersebut ke pantai sekitar jam 6 petang untuk bersiar-siar, melihat ombak dan bermain pasir.
“Selepas kira-kira setengah jam, ibu saudara mangsa mengarahkan mereka mencuci kaki sebelum pulang. Namun ketika semua kanak-kanak turun ke gigi air, satu ombak besar tiba-tiba melanda dan menarik mangsa ke laut,” katanya dalam kenyataan.
Azli berkata, seorang saksi awam memaklumkan dia bersama dua rakannya cuba membantu sebaik terdengar jeritan meminta tolong, namun usaha menyelamat gagal berikutan keadaan ombak yang kuat dan berbahaya.
“Saksi melihat mangsa dihanyutkan ke arah barat sejauh kira-kira 200 meter sebelum hilang daripada pandangan,” katanya.
Sehingga malam ini, mangsa masih belum ditemui. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan dengan penglibatan tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 12 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Kuala Nerus.
Operasi SAR dijangka diteruskan dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan cuaca dan ombak di kawasan berkenaan.


