SHAH ALAM – Tindakan seorang jemaah yang berani menegur secara terus individu dipercayai menyalahgunakan makanan hasil infak masjid tular di media sosial, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat mengenai adab, amanah dan peranan jawatankuasa masjid.

Menerusi satu hantaran yang dikongsi di platform sosial, individu berkenaan meluahkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa terdapat jemaah yang mengambil makanan infak secara berlebihan, malah membungkus untuk dibawa pulang kepada rakan atau ahli keluarga.
Menurutnya, sumbangan makanan di masjid bertujuan untuk jemaah yang hadir beribadah, bukan untuk diagihkan sesuka hati kepada pihak lain di luar kawasan masjid.
“Infak ke masjid untuk orang yang datang berjemaah. Bukan untuk kau bungkus bagi kawan-kawan di rumah,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Lebih mengejutkan, individu itu turut mendakwa perbuatan berkenaan bukan berlaku sekali-sekala, sebaliknya hampir setiap minggu, dengan ada yang menyembunyikan makanan dalam gulungan sejadah, pakaian dan pelbagai cara lain bagi mengelak dikesan.
Rakaman dan gambar kejadian itu turut disertakan dengan kapsyen “Sedekah vs Serakah”, yang segera mengundang pelbagai reaksi netizen. Rata-rata menyuarakan sokongan terhadap tindakan menegur secara bersemuka, sambil menyifatkannya sebagai langkah perlu demi menjaga amanah infak dan maruah institusi masjid.
Dalam masa sama, ramai menggesa agar Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid di seluruh negara mengambil pendekatan lebih tegas dan tersusun dalam menguruskan makanan sumbangan, termasuk menetapkan peraturan jelas bagi mengelakkan salah guna.
Namun, terdapat juga segelintir netizen mengingatkan supaya teguran dibuat secara berhikmah dan beradab, agar tidak mencetuskan suasana tegang atau memalukan mana-mana pihak.
Isu ini sekali lagi membuka mata masyarakat tentang pentingnya integriti, amanah dan pengurusan yang berkesan dalam urusan kebajikan masjid, agar niat murni para penderma tidak disalahertikan atau disalahgunakan.
