Oleh Mynewshub
TANJUNG JABUNG TIMUR – Seorang guru di Indonesia dibelasah beramai-ramai oleh para pelajarnya setelah didakwa memberikan ucapan yang berbentuk penghinaan ke atas mereka.
Kejadian dipercayai berlaku di Sekolah Menengah Kejuruan Negeri (SMK Negeri) 3 Kabupaten Tanjung Jabung Timur (Tanjabtim), Kecamatan Berbak, Jambi beberapa hari lalu.
Menurut maklumat yang berlegar di media sosial, insiden itu dipercayai berpunca daripada ucapan guru berkenaan yang didakwa mengguris perasaan pelajar.
Guru tersebut dikatakan melontarkan kenyataan yang mengaitkan keadaan ekonomi ibu bapa pelajar dengan sebutan “miskin”, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan mencetuskan reaksi keras daripada pelajar.
Berdasarkan rakaman yang tular, guru terbabit dilihat terlibat dalam pertengkaran mulut dengan beberapa pelajar sebelum situasi menjadi semakin tegang dan bertukar kecoh.
Dalam pada itu, turut tular satu lagi video susulan pasca kejadian yang memaparkan guru terbabit didakwa membawa senjata tajam dipercayai sejenis parang.
Perkembangan itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya menyuarakan kebimbangan terhadap tahap keselamatan dan kondusiviti dalam institusi pendidikan, selain menyeru pihak berwajib menjalankan siasatan segera bagi mendapatkan gambaran sebenar.
Gabenor Jambi, Al Haris mengarahkan guru berkenaan dipindahkan sekolah buat masa ini. – MYNEWSHUB
