TANGKAK: Dua wanita disahkan maut dalam satu kemalangan jalan raya tragis melibatkan dua buah kenderaan di KM 33, Jalan Kebun Baru–Bukit Serampang, di sini, malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.15 malam, 3 Januari 2026.
Menurut beliau, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Honda City berwarna merah dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton berwarna kelabu.
“Siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda dipercayai telah terlanggar seekor kerbau yang melintas secara tiba-tiba di atas jalan.
“Akibat pelanggaran itu, kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta Honda City,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Akibat perlanggaran tersebut, penumpang hadapan sebelah kiri Honda City, seorang wanita berusia 74 tahun berbangsa India Muslim, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, pemandu Honda City, seorang wanita Melayu berusia 42 tahun, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tangkak.
Dua lagi penumpang belakang Honda City serta pemandu pacuan empat roda yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Hospital Tangkak bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Tangkak untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun sehingga maksimum 10 tahun, denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang daripada lima tahun.
Dalam pada itu, polis menasihatkan pemilik haiwan ternakan supaya memastikan haiwan mereka tidak dibiarkan bebas hingga membahayakan pengguna jalan raya.
Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa memandu dengan berhati-hati terutamanya di kawasan gelap dan berisiko tinggi.
Sehubungan itu, saksi atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Faszrulhaq Zulkpli di talian 012-230 6943 bagi membantu melengkapkan siasatan.-MYNEWSHUB


