KUALA LUMPUR: UMNO perlu berhenti bergantung kepada sejarah sebaliknya merangka pelan hala tuju jelas sebagai persediaan menghadapi tempoh 24 bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ini kerana 50 peratus pemilih adalah pengundi muda berusia antara 18 hingga 35 tahun yang tidak membesar dalam era kegemilangan Barisan Nasional (BN).
Beliau antara lain menyifatkan golongan itu sebagai ‘generasi tanpa nostalgia’ dan membuat pilihan bukan atas dasar parti politik, selain terdedah kepada fitnah dan tohmahan di media sosial.
Katanya, UMNO memerlukan ‘gangguan kreatif’ iaitu idea atau inovasi baharu yang drastik bagi melaksanakan perubahan besar melalui penyelesaian inovatif yang disesuaikan.
“Anak muda (berusia) 25 tahun yang kerja Grab atau FoodPanda, tak leka mengenang pencapaian UMNO 40 tahun lalu.
“Dia mengundi atas dasar harapan mengenai masa depan. Kita mesti tawarkan penyelesaian gaji dan kerjaya,” katanya berucap merasmikan mesyuarat serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, malam ini.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Ghani; Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Bendahari, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Ketua Penerangan, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Hadir sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh serta Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta kepimpinan ketiga-tiga sayap parti itu.
Mohamad dalam pada itu mengakui seolah-olah tiada strategi untuk UMNO kembali pulih yang menghasilkan impak memberangsangkan setakat ini, yang mana ia perlu dihentikan.
Beliau juga mengakui struktur UMNO terlalu berat, pegun dan membebankan, selain menjelaskan kaedah parti itu bertindak tidak anjal.
Justeru, katanya, kaedah dan pendekatan UMNO perlu beralih kepada politik moden dengan tidak lagi bergantung kepada struktur seperti cawangan, bahagian dan pelbagai lapisan kepimpinan untuk meraih sokongan, sebaliknya sangat bersandarkan platform digital dan teknologi.
“Selain itu, ideologi nasionalisme Melayu tidak lagi memadai untuk kita menagih sokongan. Ia mantera lama yang tidak lagi mencukupi untuk kita menang.
“Isu seperti keadilan, kualiti hidup, persaraan bermaruah serta banyak lagi trend bukan berkisar mengenai Melayu Islam, selain terlalu banyak aspek dalam kehidupan kini dipacu teknologi dan kecanggihan komunikasi.
“Malangnya, parti tidak bergerak di atas landasan teknologi seperti sepatutnya, menyebabkan UMNO menjadi terpencil daripada ekosistem sosial yang semuanya berfungsi selari kederasan perubahan teknologi dan kepantasan maklumat,” katanya.
Mohamad juga mengingatkan semua ahli dan pemimpin UMNO supaya membezakan antara perjuangan dan pemusnahan, strategi dan emosi serta keberanian dan kenaifan.
“Jadi saya menyeru ahli UMNO untuk mendukung peranan kami dalam Kerajaan Perpaduan dengan pandangan yang membina. Idea yang bernas. Teguran yang munasabah.
“Insya-Allah, hikmah dari teguran yang baik dan bernas, akan kami terjemahkan menjadi natijah yang juga baik untuk bangsa Melayu dan tanah air kita Malaysia,” katanya.
-Berita Harian


