KUALA LUMPUR: Pelakon filem Syaitan Munafik, Nadia Kesuma dilaporkan gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Perkara itu dimaklumkan agensi umrah, Nuh Travel & Tours Sdn Bhd (Nuh Travel), dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nuh Travel, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, menyertai Pakej Umrah Ziarah London dan Paris bersama 21 jemaah.
“Pihak kami menguruskan proses daftar masuk dan mengeluarkan dua pas masuk penerbangan kepada beliau, masing-masing bagi sektor Kuala Lumpur – Jeddah dan Jeddah – Heathrow (London).
“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah bagi tujuan transit sementara sebelum meneruskan penerbangan ke London, semua jemaah termasuk Nadiah diberikan taklimat oleh ketua rombongan Nuh Travel.
“Jemaah dimaklumkan untuk berkumpul semula di lokasi yang ditetapkan selepas selesai urusan peribadi seperti ke tandas dan berehat.
“Namun demikian, ketika semua jemaah berkumpul dan beratur untuk penerbangan seterusnya ke London, Nadiah tidak berada bersama kumpulan,” katanya.
Berikutan itu, katanya ketua rombongan segera memaklumkan perkara ini kepada pihak pengurusan Lapangan Terbang Jeddah dan pihak lapangan terbang seterusnya membuat tiga kali pengumuman awam dengan menyebut nama beliau supaya segera ke balai berlepas.
“Usaha pencarian turut dilakukan ketua rombongan di sekitar kawasan lapangan terbang, namun beliau masih gagal ditemui.
“Oleh kerana tempoh menunggu yang lama dan arahan operasi penerbangan, pesawat akhirnya berlepas ke London tanpa kehadiran beliau,” katanya.
Menurut kenyataan itu, perkara ini segera dimaklumkan kepada Ibu Pejabat Nuh Travel di Malaysia dan tindakan pantas diambil dengan menghubungi petugas di Makkah dan Jeddah, selain memaklumkan kepada suami Nadia Kesuma serta pihak muassasah di Arab Saudi.
“Usaha pencarian digerakkan secara berterusan dengan kerjasama pihak berkuasa dan pengurusan Lapangan Terbang Jeddah.
“Percubaan untuk menghubungi telefon bimbit beliau juga dibuat, namun tiada sebarang jawapan diterima dan mesej yang dihantar masih belum dibaca setakat ini.
“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, Nadiah masih belum dapat dikesan, dan pihak kami terus komited menjalankan usaha pencarian secara aktif bersama pihak berkuasa di Arab Saudi,” katanya.
Menerusi kenyataan sama, pihak Nuh Travel memohon tiada sebarang spekulasi atau kenyataan tidak sahih disebarkan kerana ia boleh mengganggu proses siasatan dan pencarian yang sedang dijalankan.
“Kami juga memohon doa daripada semua pihak supaya beliau dapat ditemui dengan segera dan berada dalam keadaan selamat.
“Segala perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi Nuh Travel,” katanya.
Semalam, media melaporkan Nadia Kesuma gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Perkara ini dimaklumkan oleh rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) iaitu pelakon Anne Abdullah.
Anne turut memaklumkan Nadia melakukan perjalanan itu seorang diri dan tidak menolak kemungkinan berlaku sesuatu yang tidak dijangka sejurus selepas ketibaannya.
Sebelum hilang, Nadia ada menghantar mesej kepada suaminya mengatakan dia bertemu seseorang yang tidak dikenali, kemudian terus tiada khabar.
Kedua-dua telefon bimbitnya hanya menunjukkan mesej dihantar tetapi tiada sebarang respon.
BHonline-


