NILAI: Dua pengurusan tertinggi IJM Corporation antara sembilan dipanggil memberi keterangan hari ini, berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram mencecah RM2.5 bilion.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata mereka dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bermula jam 10 pagi tadi.
“Kita dah panggil mereka dan pihak berkenaan telah menghubungi pegawai kita… (mereka) akan datang ke pejabat kita dan memberi kerjasama kepada kami. Saya rasa sudah balik (dari luar negara).
“Dua (pengurusan tertinggi) akan hadir. Kami akan temubual mereka dan lihat. Tiada penahanan dan kami akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes ini,” katanya.
Azam berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Projek dan Majlis Perasmian Pusat Latihan Asas (PLA), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bandar Enstek, di sini, hari ini.
Beliau dalam pada itu berkata masih terlalu awal untuk memberikan sebarang komen berhubung dakwaan salah laku itu dan SPRM memerlukan masa untuk meneliti dokumen memandangkan ia membabitkan isu korporat.
“Sekarang kita memang menjalankan siasatan terhadap beberapa dakwaan melibatkan sektor ini, sekiranya ada kes kita akan teruskan siasatan lebih lanjut lagi.
“Keterangan tidak banyak, saya akan umumkan kemudian sebab kami baru semalam mulakan siasatan. Jangan anggap satu hari kita boleh panggil berpuluh- puluh orang. Bagi kami masa sebab ia melibatkan isu korporat,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan dakwaan negatif berhubung kes berkenaan kerana ia masih di peringkat awal siasatan.
“Terlalu banyak di luar sana yang keluar dalam pelbagai blog dan sebagainya dan membuat dakwaan yang kadang-kadang pada saya dakwaan yang tidak tepat,” katanya.
Media semalam melaporkan, seorang anggota pengurusan tertinggi syarikat bergelar Tan Sri serta seorang penasihat dikenal pasti sebagai individu berkepentingan dalam kes berkenaan.
Serious Fraud Office United Kingdom mendedahkan melancarkan siasatan berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah yang dikaitkan dengan transaksi pelaburan bernilai berbilion ringgit membabitkan kedua-dua eksekutif syarikat berkenaan.
Dakwaan ini berlaku ketika Sunway Group mengambil langkah untuk mengambil alih IJM dalam satu urus niaga bernilai RM11 bilion.
BHonline-


