KUALA LUMPUR – Tular di media sosial satu rakaman video memaparkan seorang pelanggan lelaki dipakaikan kain sarung oleh petugas keselamatan selepas didakwa gagal mematuhi kod pakaian yang ditetapkan ketika berurusan di sebuah pejabat tanah.
Kejadian dipercayai berlaku di negeri Selangor, berdasarkan maklumat suara latar dalam video perakam yang tersebar.
Video berdurasi kira-kira 41 saat itu dikongsi kembali oleh seorang pengguna media sosial yang mempersoalkan lokasi sebenar pejabat tanah berkenaan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Berdasarkan rakaman, lelaki berkenaan dipercayai hadir ke pejabat kerajaan itu dengan memakai seluar pendek dan sandal sebelum ditegur oleh petugas keselamatan.
Dia kemudian dipakaikan kain sarung sebagai syarat untuk membolehkannya memasuki premis tersebut.
Tarikh tepat kejadian tidak dapat dipastikan.
Sebelum lelaki berkenaan, seorang individu lain juga dilihat dipakaikan kain sarung di bahagian awal rakaman video tersebut.
Insiden itu mencetuskan perdebatan hangat di ruang komen media sosial.
Sebahagian netizen menyokong tindakan pihak pejabat dengan alasan etika berpakaian perlu dipatuhi ketika berurusan di premis kerajaan.
“Pejabat kerajaan memang ada etika pakaian. Kalau tak boleh ikut, jangan datang,” tulis seorang pengguna.
Namun, terdapat juga pihak yang mengkritik tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai tidak wajar dan berlebihan terhadap orang awam.
“Kod pakaian sepatutnya untuk penjawat awam, bukan pelanggan. Mereka dibayar untuk berkhidmat kepada rakyat,” kata seorang lagi netizen.
Dalam masa sama, ada yang berpandangan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya diperbesarkan, memandangkan pemakaian kain sarung hanyalah langkah penyelesaian sementara tanpa melibatkan sebarang unsur penghinaan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pejabat tanah atau pihak berkuasa berkaitan berhubung kejadian tersebut, termasuk penjelasan mengenai lokasi sebenar insiden dan dasar pemakaian yang dikuatkuasakan.
Isu ini sekali lagi menghidupkan perbincangan awam mengenai garis pemisah antara etika berpakaian, hak pelanggan serta pendekatan yang wajar digunakan oleh agensi kerajaan dalam menguatkuasakan peraturan di premis mereka.
Mynewshub akan terus mendapatkan maklum balas rasmi daripada pihak berkaitan sekiranya ada perkembangan lanjut. – MYNEWSHUB
