KUALA LUMPUR – Peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili keluarga tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis dalam kejadian di Melaka bulan lalu, mendakwa beliau kini takut terhadap keselamatan dirinya kerana beliau berbangsa India.
Rajesh berkata beliau “takut untuk pulang lewat malam”, sambil merujuk kepada tindakan polis yang enggan mengklasifikasikan kematian tiga individu itu sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
Katanya, isu ini bukan sekadar membabitkan keluarga mangsa, sebaliknya menjadi kebimbangan awam mengenai keselamatan orang biasa sekiranya kejadian seperti itu boleh berlaku begitu mudah.
> “Ini isu kepentingan awam. Jika tiga individu itu boleh dibunuh begitu sahaja, bagaimana pula dengan orang biasa seperti kita?” katanya.
Rajesh turut mengakui beliau sendiri berasa terancam:
> “Saya pun takut. Bila saya keluar tonton wayang dan pulang jam 12 malam, tiba-tiba saya mungkin diberhentikan dan ditembak. Seram tak? Saya takut. Saya orang India.”
Sebelum ini, kes berkenaan mencetuskan persoalan awam selepas keluarga mangsa mendakwa mereka tidak dimaklumkan sepenuhnya mengenai perkembangan siasatan.
Desakan agar ia disiasat sebagai pembunuhan turut meningkat selepas dakwaan wujudnya beberapa percanggahan dalam laporan awal.
Setakat ini, polis belum mengeluarkan kenyataan baharu mengenai dakwaan dan kebimbangan peguam tersebut. – MYNEWSHUB


