PETALING JAYA: Sunway Square Mall mengumumkan kemas kini polisi haiwan peliharaan berkuat kuasa serta-merta susulan arahan kerajaan negeri Selangor yang menegaskan larangan membawa haiwan peliharaan ke dalam pusat beli-belah.
Menurut kenyataan rasmi pusat beli-belah itu, kemas kini polisi berkenaan dibuat selaras dengan arahan yang ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim.
“Sehubungan itu, haiwan peliharaan tidak dibenarkan berada di dalam kawasan tertutup dalaman Sunway Square Mall bagi memastikan persekitaran yang selamat, bersih dan selesa untuk semua pengunjung,” menurut kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, haiwan peliharaan masih dibenarkan berada di kawasan luar yang dikhaskan iaitu taman mesra haiwan Squarrel’s Playground yang terletak di Sunway South Quay Lake.
Selain itu, pemilik haiwan peliharaan dibenarkan membawa haiwan mereka ketika bergerak dari tempat letak kereta pusat beli-belah di aras B3 dan B4 ke kawasan luar yang dibenarkan, dengan bimbingan pasukan keselamatan.
Pihak pengurusan Sunway Square Mall turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan menghargai kefahaman orang ramai, sambil menegaskan komitmen mereka untuk mematuhi arahan kerajaan negeri serta terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pengunjung.
Isu pusat beli-belah mesra haiwan sebelum ini mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan aspek kebersihan, sensitiviti agama dan keselesaan awam.- MYNEWSHUB



