JITRA, Kedah – Seorang pemandu lori dilaporkan selamat selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam bendang sawah di Jalan Kampung Naga, di sini, dalam kejadian yang tular di media sosial semalam.
Berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai berlaku apabila lori berkenaan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki kawasan sawah yang sedang berair.
Namun begitu, punca sebenar insiden berkenaan masih belum diketahui setakat ini.
Rakaman dan gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan lori berkenaan berada dalam keadaan senget dan tenggelam sebahagiannya di dalam lumpur bendang, manakala bahagian hadapan kenderaan mengalami kerosakan.
Difahamkan, pemandu berjaya keluar dari lori berkenaan tanpa mengalami kecederaan serius. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati ketika memandu, khususnya di laluan kampung dan kawasan pertanian yang sempit serta licin.
Sumber: Media sosial
