OLEH MYNEWSHUB
CIANJUR, 1 Disember 2025 – Suasana kecoh tercetus di sebuah kilang pengeluaran boneka, PT Aurora World di Sukaluyu, Cianjur, apabila beberapa pekerja wanita mengalami histeria secara beramai-ramai dalam satu insiden yang tular di media sosial.
Kejadian dilaporkan berlaku antara jam 8.30 hingga 9.00 pagi apabila seorang pekerja wanita dikatakan tertusuk jarum jahit dan menjerit akibat terkejut.
Jeritan itu mencetuskan panik dan berlarutan kepada belasan pekerja lain, menyebabkan mereka menangis, menjerit serta rebah secara tiba-tiba.
Rakaman video yang memaparkan suasana kecoh itu cepat merebak di platform Instagram, Facebook dan YouTube Shorts, mengundang pelbagai spekulasi netizen yang mengaitkan insiden tersebut dengan unsur mistik atau ‘kesurupan’.
Namun, pihak HRD PT Aurora World menafikan dakwaan itu.
Menurut mereka, insiden tersebut bukan berpunca daripada unsur paranormal, sebaliknya akibat kejutan, tekanan emosi dan suasana kerja yang tiba-tiba cemas, sehingga mencetuskan histeria berkumpulan.
Sumber memaklumkan bahawa sekitar 15 hingga 20 pekerja terjejas dan mereka segera dibawa keluar dari kawasan pengeluaran untuk diberi bantuan serta ditenangkan oleh pihak kilang.
Tiada kecederaan serius dilaporkan.
Operasi kilang dihentikan hampir sejam bagi memastikan keadaan stabil sebelum kembali beroperasi seperti biasa.
Pihak pengurusan turut memaklumkan bahawa pekerja yang terlibat dibenarkan pulang lebih awal demi keselamatan dan kesejahteraan mental mereka.
Insiden ini sekali lagi membuka perbincangan tentang fenomena histeria berkumpulan, yang sering berlaku di sekolah dan tempat kerja, terutama apabila wujud tekanan, keletihan atau suasana kerja yang tidak kondusif. – MYNEWSHUB

