Oleh Mynewshub
KOTA KINABALU, 15 Disember 2025 – Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes kecederaan dan penderaan kanak-kanak yang tular menerusi rakaman video di media sosial, melibatkan sekumpulan pelajar sebuah madrasah di sekitar Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kejadian tersebut yang dilaporkan berlaku pada 14 Disember lalu kira-kira jam 11.55 malam, di sebuah premis perniagaan sekitar bandar ini.
Menurut beliau, insiden berkenaan melibatkan sekumpulan pelajar madrasah dan seorang lelaki dewasa, yang dipercayai individu sama yang ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata, serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan kesalahan penderaan kanak-kanak.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi semua pihak terlibat, khususnya mangsa yang masih di bawah umur.
“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.
Kenyataan media tersebut dikeluarkan pada 15 Disember 2025 jam 10.00 malam.
