KUALA LUMPUR – Sebuah salun rambut yang berpangkalan di Sunway Geo Avenue mencetuskan kemarahan ramai netizen selepas didakwa mempersendakan hijab dalam satu kandungan media sosial yang tular baru-baru ini.
Kontroversi tercetus apabila seorang pengguna media sosial berkongsi tangkap layar dan rakaman video daripada akaun Instagram milik pengarah salun berkenaan, yang memaparkan aktiviti pertukaran hadiah ala “Secret Santa”.

Namun, apa yang mencetuskan kemarahan ialah apabila hijab atau tudung dikategorikan sebagai “hadiah buruk” dalam kandungan tersebut.
Lebih mengundang kritikan, video itu turut memaparkan seorang individu mengenakan hijab sambil memegang minuman beralkohol, yang dianggap oleh ramai sebagai penghinaan terbuka terhadap simbol dan amalan agama Islam.
Seorang netizen yang memuat naik pendedahan awal itu meluahkan rasa kecewa dengan tindakan salun berkenaan, sambil menegaskan bahawa walaupun sesebuah perniagaan mungkin tidak menyasarkan pelanggan Muslim, ia tidak wajar menjadikan hijab sebagai bahan ejekan atau hinaan.


“Tak sasarkan Muslim tak bermaksud boleh buat mockery terhadap hijab dan post tanpa rasa bersalah,” tulisnya.
Susulan kecaman meluas, salun berkenaan didapati telah menukar nama pengguna akaun Instagram mereka, dipercayai sebagai usaha mengelak perhatian awam.
Namun tindakan itu gagal meredakan kemarahan orang ramai, sebaliknya mencetuskan lebih banyak reaksi negatif.
Beberapa pengguna media sosial lain turut menggesa pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN/JAIS) supaya menyiasat insiden berkenaan kerana didakwa melibatkan penghinaan terhadap agama Islam.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak salun terbabit berhubung dakwaan tersebut.
Namun isu ini sekali lagi mencetuskan perdebatan hangat mengenai sensitiviti agama, etika kandungan media sosial dan tanggungjawab perniagaan dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Mynewshub akan terus memantau perkembangan isu ini dan mendapatkan maklum balas pihak berkaitan.

