KUALA LUMPUR: Berikutan beberapa insiden pengguna jalan raya ingkar arahan penutupan laluan yang mencetuskan insiden tidak diingini seperti terjatuh ke dalam gaung sehingga ada menyebabkan kematian, Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah mengambil tindakan membuat laporan polis.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata beberapa tindakan segera yang lain turut diambil bagi memastikan tragedi kenderaan terjatuh ke kawasan runtuhan tidak berulang.
Merujuk insiden terbaharu semalam di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah) dekat Kuala Berang, Terengganu yang mengorbankan dua nyawa, beliau berkata, KKR sudah membuat laporan polis berhubung pencerobohan laluan berkenaan yang ditutup kerana runtuhan tanah.
“Antara langkah lain diambil termasuk pemasangan papan tanda amaran dan pelaksanaan sekatan konkrit di kedua-dua arah laluan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, insiden berkenaan amat dikesali kerana setiap agensi yang terbabit sudah melaksanakan langkah pencegahan, termasuk menutup jalan dan meletakkan pelbagai tanda amaran di kawasan berkenaan.
“Ingin ditegaskan bahawa kejadian ini memberi peringatan serius mengenai kepatuhan pengguna jalan raya terhadap arahan keselamatan, khususnya di kawasan bencana.
“Kementerian memandang serius isu keselamatan pengguna jalan raya dan mengingatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi arahan serta tanda penutupan di lokasi berisiko,” katanya.
Malam tadi, media melaporkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki pasangan bakal berkahwin terhumban ke dalam gaung sehingga mengakibatkan kedua-duanya maut di tempat kejadian.
Mangsa seorang guru dikenal pasti sebagai Hassan Shazali, 52, manakala wanita yang maut, Suzaimah Che Azis, 34.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab, berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa bergerak dari Hulu Terengganu ke arah Gua Musang.
“Setiba di lokasi kejadian, kenderaan melalui jalan yang ditutup akibat tanah runtuh sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam gaung,” katanya.
Mengenai penutupan laluan berkenaan, Alexander berkata, ia merangkumi sebahagian Jalan Persekutuan FT36 dari Seksyen 55.60 hingga Seksyen 139.30, yang dipantau secara berterusan bersama pihak konsesi penyelenggaraan.
Beliau menambah, JKR sudah mendapat kelulusan bagi pembinaan jambatan baharu di Laluan FT036, Seksyen 89.00, Jalan Aring 8–Tasik Kenyir–Kuala Jeneris, Hulu Terengganu, yang diluluskan pada 25 Mac lalu dengan kos RM36 juta.
“Status terkini projek ini adalah di peringkat perolehan, dengan Surat Setuju Terima dijangka diserahkan pada suku keempat Disember ini,” katanya.
Terdahulu pada Rabu lalu, seorang lelaki bernasib baik terselamat walaupun kenderaan dipandunya terjatuh ke dalam gaung akibat tanah runtuh di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Lojing, berhampiran Pos Blau di Gua Musang, Kelantan, kira-kira jam 5 pagi.
Mangsa terjatuh ke dalam gaung tanah runtuh itu bersama kenderaannya kerana melalui jalan yang sudah ditutup sejak jam 12 tengah malam sebelumnya. Kejadian disedari seorang pekerja Roadcare (M) Sdn Bhd yang sedang memantau kawasan terbabit apabila mendengar suara menjerit meminta tolong.
Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Cameron Highlands, Pahang ke Pasir Putih di Gua Musang sebelum kenderaan dipandunya terjatuh ke dalam gaung di kawasan tanah runtuh terbabit.
-Berita Harian


