KOTA KINABALU: Tujuh orang dilaporkan hilang manakala dua ditemui cedera selepas sebuah rumah setinggan dipercayai dihuni sembilan sekeluarga, ditimbus tanah runtuh dekat Kampung Cenderakasih, Kolombong di sini, pagi tadi.
Kejadian dipercayai sebelum jam 10 pagi tadi susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan struktur tanah berbukit di kawasan itu tidak stabil.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 10.02 pagi sebelum jentera tiba kira-kira 20 minit kemudian.
Katanya, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas dengan sebuah jentera diketuai PBK I Wilfred Sulai, dihantar ke lokasi.
“Pemanggil memberitahu sembilan mangsa dilaporkan tertimbus tetapi dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam.
“Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Berdasarkan laporan awal, katanya, pemanggil melaporkan kejadian tanah runtuh dan menyebabkan semua rumah runtuh.
“Mangsa pertama dikenali sebagai Abdullah dihantar ke Hospital Likas dan dilaporkan cedera paha kiri,” katanya.
BHonline-


