KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming mengumumkan pembukaan restoran fizikal pertamanya yang dinamakan Rembayung, sekali gus menamatkan penantian selepas setahun projek itu dirahsiakan daripada umum.
Menerusi kenyataan yang turut tular di platform X, Khairul Aming berkata restoran tersebut dibangunkan dengan pelaburan modal RM4 juta, menjadikannya projek terbesar pernah diusahakan sepanjang kerjayanya.


Restoran berkeluasan 8,000 kaki persegi itu dibina sepenuhnya dari awal di atas tanah kosong di Kampung Baru, hanya sembilan minit dari KLCC, dan direka dengan gabungan estetika kampung tradisional serta sentuhan moden.
Ia dilaporkan mampu menampung lebih 200 pelanggan pada satu-satu masa.
Menurut Khairul Aming, pelancaran Rembayung menandakan perkembangan penting dalam evolusi jenamanya selepas 10 tahun berkecimpung dalam dunia dalam talian, sebelum bersedia meluaskan operasi ke dunia fizikal.
> “Selepas 10 tahun dalam dunia online, kini saya bersedia melangkah ke dunia offline. Ini adalah permulaan perancangan KA untuk 10 tahun akan datang. Selamat datang ke Rembayung,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa seramai 50 pekerja tempatan telah diambil melalui proses blind hiring, sebelum mereka menjalani sesi latihan menjelang pembukaan rasmi restoran yang dijangka pada Januari 2026.
Pengumuman tersebut menerima reaksi hangat daripada peminat dan komuniti perniagaan, yang melihat langkah itu sebagai perkembangan besar dalam industri makanan tempatan serta inspirasi buat usahawan muda.
Restoran Rembayung dijangka menjadi antara tarikan gastronomi baharu di pusat bandar Kuala Lumpur, terutamanya di kawasan ikonik Kampung Baru.— Mynewshub


