Kuala Lumpur: Bagi melindungi kanak-kanak daripada mengakses kandungan dalam talian, kerajaan dalam proses mengawal selia platform untuk menyekat pengguna bawah usia 13 tahun selain memastikan kandungan dipaparkan kepada pengguna bawah 18 tahun bersesuaian tahap umur mereka .
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ketika ini sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), dengan tumpuan kepada isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian termasuk kandungan yang bersesuaian dengan peringkat umur pengguna kanak-kanak.
“Di bawah perundangan subsidiari ini, pemberi perkhidmatan bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna di bawah umur 13 tahun dan wajib memastikan kandungan yang dipaparkan kepada pengguna di bawah umur 18 tahun adalah bersesuaian dengan tahap umur mereka.
“Selain itu, pemberi perkhidmatan juga perlu menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa atau ‘parental control’ selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan mereka,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) sama ada Kementerian Komunikasi bersedia menggubal undang-undang bagi menyekat atau melarang remaja di bawah umur 13 tahun daripada menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan lain-lain.
Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi melalui MCMC sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia mengambil pendekatan menyeluruh bagi mengawal kandungan dalam talian yang memudaratkan serta melindungi golongan rentan, khususnya remaja dan kanak-kanak.
Bagi tujuan ini, katanya, beberapa undang-undang berkaitan digubal dan dilaksanakan termasuk menguatkuasakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588.
Langkah itu bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan, bertanggungjawab dari segi kawal selia kandungan serta pengurusan algoritma.
“Bagi menyokong kerangka pelesenan ini, MCMC menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial.
“Kod ini menggariskan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan memudaratkan, termasuk keperluan melaksanakan langkah verifikasi umur, menyediakan tetapan kawalan bagi ibu, bapa, penjaga yang efektif dan memperkasa fungsi untuk pengguna kanak-kanak melindungi diri mereka daripada kandungan mudarat.
“Kerajaan juga menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 bagi mengawal selia kandungan memudaratkan dan mengadakan peruntukan bagi kewajipan dan obligasi pemberi perkhidmatan aplikasi, pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dan pemberi perkhidmatan rangkaian yang dilesenkan,” katanya.
Dalam usaha memastikan ketelusan dan akauntabiliti pemberi perkhidmatan dalam memenuhi obligasi keselamatan dalam talian mereka, Fahmi berkata, pemberi perkhidmatan akan dikehendaki menyediakan suatu pelan keselamatan dalam talian mengenai pematuhan mereka terhadap kewajipan di bawah Akta 866.
“Semua undang-undang yang digubal ini adalah usaha berterusan kerajaan memastikan ekosistem rangkaian Internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna, terutamanya untuk kanak-kanak dan keluarga serta golongan rentan yang terdedah kepada kemudaratan dalam talian,” katanya.
-Harian Metro


