KUALA LUMPUR – Satu hantaran tular di media sosial mencetuskan rasa marah dan jijik dalam kalangan warganet selepas seorang pengunjung mendakwa berlaku perbuatan tidak senonoh melibatkan kanak-kanak kencing bersebelahan kawasan troli beli-belah sebuah pasar raya.
Menurut perkongsian seorang pengguna Instagram, kejadian itu didakwa berlaku di kawasan pembuangan sampah berhampiran sebuah cawangan Jaya Grocer di Rimbayu, Selangor.
Individu terbabit mendakwa dua kanak-kanak — seorang lelaki dan seorang perempuan — dipercayai membuang air kecil pada bahagian pemegang troli beli-belah, menyebabkan bau yang sangat tidak menyenangkan.
“Masuk sekejap saja dah satu badan bau. Tak boleh tahan sampai terpaksa keluar balik dan batalkan niat beli barang,” tulisnya dalam hantaran berkenaan.
Menurutnya lagi, keadaan itu bukan sahaja mengganggu keselesaan pengunjung lain, malah menimbulkan kebimbangan terhadap aspek kebersihan dan kesihatan awam.
Hantaran berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi warganet, dengan ramai menyuarakan rasa jijik serta menggesa ibu bapa agar lebih bertanggungjawab di tempat awam.
Ada juga yang menggesa pihak pengurusan pasar raya memperketatkan penjagaan kebersihan di kalangan pengunjung.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan pasar raya berhubung dakwaan tersebut.

