KUALA LUMPUR: Individu berusia 21 hingga 30 tahun adalah kumpulan mangsa tertinggi jenayah telekomunikasi bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, dengan 8,789 kes direkodkan.
Statistik yang dikongsi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di Facebook hari ini menunjukkan 28,698 kes jenayah telekomunikasi dilaporkan dalam tempoh berkenaan dengan jumlah kerugian mencecah RM715 juta.
“Berdasarkan analisis mengikut pecahan umur, kumpulan berusia 21 hingga 30 tahun mencatatkan jumlah mangsa tertinggi jenayah telekomunikasi dengan 8,789 kes.
“Angka itu diikuti golongan berusia 31 hingga 40 tahun dengan 6,825 mangsa, diikuti golongan usia 41 hingga 50 tahun dengan 4,977 kes,” katanya.
Selain itu, mangsa dalam kalangan individu berumur 51 hingga 60 tahun pula merekodkan 3,382 kes, manakala golongan berusia 60 tahun ke atas mencatatkan 2,763 kes.
“Kumpulan julat usia 15 hingga 20 tahun turut terkesan dengan 1,962 kes jenayah telekomunikasi direkod sepanjang tempoh sama.
“Situasi ini membuktikan bahawa jenayah telekomunikasi memberi kesan kepada semua lapisan umur,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan.
BHonline-


